Followers

Monday, April 11, 2011

" ..... peluk kristian jika ......... "

catatan  w@gim@n: Walaupun Azleen telah hanyut dengan nafsu remajanya tetapi dia masih tahu dimana letaknya akidah dirinya sebagai orang Islam. Alhamdulillah untuk itu. Semuga, kini Azleen  telah menjadi  antara insan bertaqwa setelah diberi peluang kedua oleh Allah s.w.t
 
Semuanya dari Allah.
 
HATI KE HATI
Oleh NOR SHAMSINOR BAHARIN
 
“PELUK KRISTIAN”
jika mahu saya bertanggungjawab
 

Hidup sebagai seorang remaja sesuatu yang amat menyeronokkan.  Apatah lagi apabila diri bebas menentukan haluan hidup setelah satu ketetapan dibuat. Azleen (bukan nama sebenar), nekad untuk tidak meneruskan persekolahannya setelah dia sendiri memikirkan, untuk apalagi keluarganya terus membazirkan wang, kalau hatinya tidak lagi berminat terhadap pelajaran yang diajar.  Lebih lebih lagi apabila setiap kali keluar keputusan peperiksaan, yang tercatat dibuku rekod pelajar sama sekali tidak memberangsangkan. Yang ada cuma dakwat merah sekali gus menunjukkan betapa minatnya terhadap alam persekolahan sudah berkubur.
 
Sekalipun ayah Azleen telah dipanggil ke sekolah untuk membincangkan prestasi pelajaran yang dicapai oleh anaknya, namun setelah kata sepakat dibuat, ayah Azleen terpaksa menurut kehendak Azleen. Kini Azleen sudah sebebas bebasnya daripada dibelenggu gelaran ‘pelajar’ yang dipikul selama ini.  Hanya satu tujuan kini, iaitu mencari perkerjaan,
 
Impiannya tercapai apabila dia diterima untuk bekerja di salah sebuah pasar raya di Negeri  Sembilan.  Tetapi tidak lama. Azleen bertukar pekerjaan menjadi jurujual sebuah kedai pakaian. Itu juga tidak lama. Namun Azleen bernasib baik apabila permohonannya untuk bekerja di sebuah restoran makanan segera diterima. Dengan menerima pendapatan RM800 sebulan tidak termasuk overtime (OT), Azleen sudah cukup berasa puas. Kini apa yang dihajati mampu dibeli tanpa perlu meminta  daripada keluarga. Melihat kepada perkembangan itu, keluarganya telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada Azleen. Bagi mereka Azleen sudah pandai jaga diri dan mampu berdikari.
 
Bagaimanapun, ibarat kata pepatah, langit tidak selalunya cerah. Azleen yang ketika itu berusia 17 tahun, leka dibuai oleh keseronokan zaman remaja. Perasaan ingin berpasang pasangan seperti remaja remaja lain membuatkan Azleen merasakan betapa indahnya dunaia ini.  Lelaki India beragama Kristian yang dikenalinya, yang turut bekerja di restoran  yang sama, berjaya menambat hati Azleen. Ke mana pergi, pasti berdua sehingga meninggalkan gossip dikalangan pekerja pekerja di restoran tersebut. Ibarat kata orang, cinta itu buta, begitulah yang terjadi pada Azleen. Hasrat lelaki Melayu – Azhar (bukan nama sebenar) yag cuba memikatnya ditolak mentah mentah. David (bukan nama sebenar) adalah segala gala baginya. Pada Azleen, Azhar terlalu ‘lurus’ dan tidak layak menjadi pasangannya.
 
Bibit cinta yang terjalin di antara Azleen dan David, rupa rupanya membawa episod hitam dalam hidupunya. Azleen yang mula berjinak jinak dengan disko sekalipun menafikan tidak pernah minum, sentiasa setia dengan janji janji David untuk mengahwininya. Lantaran itu, apa sahaja yang diminta oleh David dipenuhi termasuklah menyerahkan ‘mahkotanya’.
 
Masa terus berlalu dan hubungan erat mereka akhirnya dihidu oleh majikannya. Jika sebelum ini, mereka berdua akan masuk bekerja pada syif yang sama, kini tidak lagi. Jadual yang diatur oleh majikannya menyebabkan Azleen memberontak lantas mengemukakan  surat untuk meletakkan jawatan. Keputusan tersebut turut diambil oleh David. Mereka berdua akhirnya merancang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dengan menyewa bilik berasingan di sebuah rumah kedai di Subang, masing masing memulakan hidup dengan pekerjaan baru.
 
Dalam masa yang sama hubungan Azleen dan David bagaikan suami isteri. Sehinggalah di suatu hari, Azleen merasakan dirinya tidak sihat dan meminta David menghantarnya ke kelinik. Dalam perjalanan, berlaku sedikit pertengkaran kerana David seolah olah dapat mengagak kemungkinan Azleen hamil hasil daripada hubungan yang mereka lakukan.  David mengharapkan agat perkara tersebut tidak berlaku.
 
Sangkaan David meleset apabila setelah pemeriksaan, Azleen didapati hamil dua bulan. David berkeras agar kandungan tersebut digugurkan atas alasan belum bersedia untuk menerima bayi.  Sebaliknya Azleen terus mempertahankannya kerana sayangkan kandungan tersebut. Terdetik dihatinya, dosa dosa yang dilakukan sebelum ini, apakah harus ditambah dengan menggugurkan kandungan tersebut.  “Saya sayangkan kandungan saya. Mana mungkin saya menggugurkannya sekalipun saya tahu ia terjadi hasil daripada perbuatan kami yang tidak halal di sisi syarak,” katanya.
 
Lima bulan berlalu dan David sekali lagi menggesa agar Azleen menggugurkan kandungannya. Lantaran tidak tahan dengan desakan tersebut, Azleen mengambil keputusan untuk memberitahu keluarga keadaan dirinya. Seperti yang dijangkakan, keluarga Azleen tergamam tatkala mendengar khabar buruk tersebut. “Saya tiada jalan lain melainkan menceritakan kisah ini kepada mak dan ayah. Saya tahu mak begitu kecewa dengan saya. Tapi apa yang mampu saya lakukan,” kata Azleen.
 
Dalam pada itu, cerita tersebut turut diketahui oleh keluarga David yang menghalang David meneruskan poerkahwinannya dengan Azleen. Atas dasar berlainan agama dan bangsa, ibu David seolah olah menyalahkan Azleen. Satu tamparan hingggap di muka Azleen apabila David membawanya berjumpa dengan keluarganya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
 
Rundingan demi rundingan di buat antara kedua dua belah keluarga. Azleen tetap dengan keputusannya untuk berkahwinb dengan David  sedangkan David pula jika sebelum ini berjanji untuk berkahwin dengannya, tiba tiba menukar  fikiran.  Azleen dipaksa menganut agama Kristian jika mahu dia bertanggungjawab di atas perbuatannya.
 
Tergamam Azleen mendegar permintaan David. Baginya cukuplah perbuatan keji yang dilakukan selama ini. Azleen tidak sanggup untuk menambahnbya dengan dosa syirik kepada Allah.  Kata putus dibuat dan diatas desakan keluarga. Azleen bersetuju untuk ditempatkan di rumah perlindungan, sementara menunggu bayinya dilahirkan disamping cuba membina hidup baru.
 
Tarikh 19 Disember 2003, seorang bayi perempuan selamat dilahirkan. Tatkala itu Azleen cukup menyedari betapa sukarnya melahirkan seorang bayi. Malangnya pengorbanan ibunya yang melahirkannya dibalas dengan tuba. Azleen insaf betapa perbuatannya cukup memalukan keluarganya. Malah keluarganya turut mengeluh, betapa beratnya ujian Allah ke atas mereka sehingga terjadinya sejarah hitam dalam keluarga tersebut.
 
Atas  dasar  tidak mahu meniggalkan sebarang kisah duka yang pernah berlaku dalam diari keluarga berkenaan, Azleen akur dengan permintaan keluarga untuk menyerahkan bayi yang dilahirkan kepada sebuah keluarga angkat. “Berat di hati saya menyerahkannya kepada keluarga lain. Saya ibunya dan saya yang mengandungkannya selama ini. Saya turut merasa keperitan melahirkan bayi berkenaan. Mana mungkin saya sanggup berpisah dengannya,” katanya dalam nada sebak.
 
 Azleen menjelaskan tempoh lima hari bersama bayi dirasakan terlalu singkat. Dengan hati yang terlalu berat, Azleen menyerahkan bayi tersebut kepada sebuah keluarga angkat pada hari yang telah dijanjikan. Kini Azleen cuba melupakan sejarah hitam yang pernah terpalit dalam hidupnya. Sakalipun merindui bayinya, Azleen masih menaruh harapan agar keluarga angkat tersebut tidak akan melupakannya sebagai seorang ibu kepada bayi tersebut. “Saya pernah berpesan agar keluarga angkat kepada anak saya dapat mengirimkan gambarnya apabila dia berusia satu tahun. Lebih daripada itu, saya memang mengharapkan agar anak  yang saya lahirkan itu tahu, sayalah ibunya. Tapi itu semua agak mustahi.,” katanya sambil menundukkan mukanya.
 
Apa pun  Azleen yang kini diberi bimbingan oleh pengurus rumah pelindungan tersebut dan beberapa orang sukarelawan yang bertugas disitu, menaruh harapan agar masyarakat yang mengetahui kisahnya dapat menerima dirinya. Katanya, dia terlalu mentah untuk menilai buruk baik sesuatu perkara ketika itu. Bagaimanapun, pengalaman dan pengajaran yang diterima dalam hidupnya amat bernilai. Azleen bersyukur kerena Allah masih  mengasihaninya kerana telah menyelamatkannya daripada jatuh terpesong daripada agama yang dianuti.  Apatah lagi apabila turut diberitahu bahawa David sebelum berhubung dengannya turut menghamilkan seorang gadis cina. Oleh itu, apakah David benar benar layak untuk dirinya? Tanya Azleen pada dirinya sendiri.
 
Al Islam Julai 2004

Penulis:  NOR SHAMSINOR BAHARIN Terbitan asal:  Al Islam Julai 2004 

1 comment:

  1. Salam kenal,
    Mungkin suka juga dengan bacaan berikut:

    http://just-virtual.blogspot.com/2012/01/masihkah-sayang-masihkah-percaya.html

    selamat membaca

    ReplyDelete